Antara yang ditahan dalam pemeriksaan polis di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Hidayatul Akmal Ahmad


TUJUH remaja bawah umur termasuk lima perempuan antara 14 individu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pagi hari ini.

Serbuan dilakukan pada 2.40 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hasil risikan dan maklumat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri sembilan lelaki dan lima perempuan berusia 14 hingga 22 tahun.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada mereka positif dadah jenis AMP.

“Hasil pemeriksaan polis turut merampas tiga biji pil ekstasi seberat 1.6 gram dan 1.0 gram,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis menyeru ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap setiap pergaulan dan aktiviti anak masing-masing bagi mengelak terjerumus dalam kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 9:24 PM