EKHWAN Haque (kiri), Mohd Radzi (dua dari kiri), Mohd Hardi Effendi (tiga dari kiri) serta Wakil TV3 Wilayah Sarawak, Adib Othman menunjukkan plak yang dimenangi. FOTO NSTP
EKHWAN Haque (kiri), Mohd Radzi (dua dari kiri), Mohd Hardi Effendi (tiga dari kiri) serta Wakil TV3 Wilayah Sarawak, Adib Othman menunjukkan plak yang dimenangi. FOTO NSTP


MEDIA Prima mengungguli Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2019 dengan memenangi 11 anugerah malam ini.

Wartawan Harian Metro, Mohd Rizal Abdullah memenangi tiga anugerah masing-masing tempat kedua bagi Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Berita Rencana) Bahasa Melayu dan ketiga Anugerah Laporan Berita Terbaik Bahasa Melayu.

Mohd Rizal turut memenangi tempat kedua Anugerah Laporan Berita Bahasa Melayu bersama jurugambar eksekutif New Straits Times Press (NSTP), Mohd Radzi Bujang.

Seorang lagi wartawan Harian Metro, Ekhwan Haque Fazlul Haque memenangi tempat ketiga kategori sama.

Selain itu, Radzi turut memenangi tempat kedua Anugerah Gambar Esei Terbaik.

Wartawan Berita Harian, Hardi Effendi terpilih sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Bahasa Melayu) dengan mempertaruhkan laporan berkenaan usaha berterusan kerajaan negeri menerusi Jabatan Muzium Sarawak membongkar khazanah arkeologi yang terdapat di negeri ini.

Menerusi laporan sama, Hardi turut memenangi tempat pertama Anugerah Kewartawanan Kelestarian Bahasa Melayu, manakala, tempat kedua dimenangi seorang lagi wartawan Berita Harian, Muhd Amirul Faiz Ahmad.

Sementara itu, TV3 menerusi wartawan, Adib Othman dan jurukamera, Abu Zaidi Abu Bakar memenangi tempat pertama Anugerah Kewartawanan Ekonomi Digital.

Adib turut memenangi tempat kedua Anugerah Kewartawanan Penyiaran (Perniagaan dan Ekonomi).

Seorang lagi wartawan TV3, Kadir Edisson memenangi Anugerah Kewartawanan Penyiaran Kelestarian.

Hadiah disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Sibu, malam ini.

Anugerah Ketua Menteri menyediakan hadiah wang tunai RM5,000 manakala tempat pertama setiap kategori pula menyediakan hadiah wang tunai RM3,000; kedua (RM2,000) dan ketiga sebanyak RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 11:27 PM