SITI Nurhaliza turut menyertai program Kayuhan Wanita 2019 di Putrajaya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan mengambil peluang mempromosi negara dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) menerusi koleksi lagu irama Malaysia ketika mengadakan konsert di luar negara selepas ini.

Penyanyi nombor satu negara itu berkata, terdapat perancangan untuk beliau mengadakan konsert di Sydney, Melbourne dan London selepas ini, namun masih di peringkat awal.

“Saya baru selesai mengadakan persembahan di OzAsia Festival di Adelaide pada 18 Oktober lalu. Segmen irama Malaysia mendapat sambutan paling baik daripada penonton Australia dan peminat yang datang dari Indonesia dan Korea Selatan.

“Turut memberi sambutan kepada lagu genre ini ialah warga Malaysia yang sudah lama menetap di Australia,” katanya selepas menyertai Kayuhan Wanita 2019 sejauh 20 kilometer di Putrajaya, hari ini.

OzAsia Festival adalah acara tahunan berlangsung di Adelaide Festival Centre membabitkan persembahan teater, tarian, muzik, filem dan seni visual dari Asia.

Setiap artis dari negara Asia yang berbeza akan membuat persembahan pada satu malam di sepanjang festival itu.

Ini adalah kali pertama Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di negara berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai persembahan di OzAsia Festival, Siti Nurhaliza menjelaskan persembahan beliau membabitkan 15 lagu termasuk segmen irama Malaysia antaranya lagu Cindai yang diterbitkan pada 1997.

Beliau menambah, pihak penganjur memaklumkan persembahan beliau berjaya menarik jumlah penonton paling tinggi iaitu 1,000 penonton pada satu malam sepanjang penganjuran festival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 1:10 PM