DR Wan Azizah (dua, kiri) menunjukkan produk keluaran Ecobio Pack Sdn Bhd pada majlis hari ini, bersama Penaung Pertubuhan Wanita PAWANA Dayang Julita Abg Anuar (dua, kanan) dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Ecobio Pack Sdn Bhd Shieda Manap (kanan). FOTO BERNAMA
DR Wan Azizah (dua, kiri) menunjukkan produk keluaran Ecobio Pack Sdn Bhd pada majlis hari ini, bersama Penaung Pertubuhan Wanita PAWANA Dayang Julita Abg Anuar (dua, kanan) dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Ecobio Pack Sdn Bhd Shieda Manap (kanan). FOTO BERNAMA
BERNAMA

PENGENAAN caj ke atas beg plastik, yang ketika ini dilaksanakan di premis perniagaan tetap, akan diperluas ke semua jenis premis perniagaan mulai 2022, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sebelum berakhirnya 2021, pengenaan caj ke atas beg plastik akan dilaksanakan di semua premis perniagaan tetap dan (kemudian) ia akan (dilaksanakan) kepada semua premis perniagaan bermula pada 2022,” katanya selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran Ecobio Pack Sdn Bhd dan NGO Pawana di Subang Jaya, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, langkah itu adalah antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang termasuk amalan tiada penggunaan straw yang menggalakkan pengguna untuk minum terus dari cawan atau gelas.

“Inisiatif kerajaan ini dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna dan sekali gus dapat mendorong pengguna untuk membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg boleh diguna semula semasa membeli-belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Beliau turut memuji usaha dilakukan kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan hasil caj penggunaan beg plastik untuk program pemuliharaan alam sekitar serta menyeru negeri lain supaya menjadikannya contoh untuk dilaksanakan.

Kerajaan sebelum ini telah pun memperkenalkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik sejak 1 Januari 2011 pada setiap Sabtu.

Susulan itu, beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perlis, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sarawak telah mula mengambil langkah yang sama.

Di Wilayah Persekutuan pula, peruncit hanya dibenarkan untuk menyediakan beg plastik kategori biodegradasi dan compostable.

Bermula Mac lalu peruncit mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg daripada jenis itu kepada pelanggan, selain beberapa negeri memulakan kempen pemberian straw atas permintaan, iaitu di Wilayah Persekutuan (bermula Januari 2019), Kedah dan Pulau Pinang (bermula April 2019) dan Selangor (bermula 1 Julai 2019).

Wilayah Persekutuan turut mengenakan larangan penggunaan straw plastik, dengan penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 2:27 PM