PASUKAN SAR dengan bantuan penduduk rumah panjang memulakan usaha pencarian mangsa yang memasuki hari kedua. FOTO IHSAN JBPM
PASUKAN SAR dengan bantuan penduduk rumah panjang memulakan usaha pencarian mangsa yang memasuki hari kedua. FOTO IHSAN JBPM
Erika George


USAHA mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas dari Rumah Bair, Samarakan yang dilaporkan hilang dari kediamannya diteruskan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, memaklumkan Rami Jeti, 78, disedari hilang oleh ahli keluarganya.

“Maklumat awal daripada keluarga mendapati Rami tiada di bilik keluarga mereka jam 9 pagi, Khamis lalu dan dipercayai keluar melalui pintu belakang rumah panjang menuju ke hutan berdekatan,” katanya.

Menurutnya, bomba turut difahamkan sebelum ini mangsa pernah tiga kali menghilangkan diri di hutan berkenaan, namun pulang semua ke rumah panjang pada hari sama.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa agak lemah sehingga gagal mencari jalan untuk pulang ke rumah panjang seperti sebelum ini,” katanya menurut satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Bimbang sesuatu buruk berlaku, ahli keluarga mangsa menghubungi talian MERS 999 jam 10.22 pagi, semalam.

Sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi SAR.

“Operasi SAR masuk hari kedua hari ini turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) dengan bantuan penduduk rumah panjang dengan radius pencarian diperluaskan sehingga satu kilometer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 3:39 PM