Amirul Aiman Hamsuddin


SEPASANG pengantin tidak sempat bersanding seperti diangankan selepas pelamin yang dipasang kelmarin, tenggelam dalam banjir.

Ia susulan rumah pengantin perempuan, Siti Nabilah Pakhruddin, 28, di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor, dinaiki air lebih semeter, sejak 6 petang semalam.

Berikutan itu, majlis dirancang di rumah berkenaan bertukar tempat ke pekarangan Masjid Nurul Huda di kampung itu.

Siti Nabilah berkata, tidak menyangka hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir kilat dan lambat surut.

“Saya fikir banjir akan surut seperti sebelum ini, namun ia tidak berlaku malah paras air semakin naik sehingga menenggelamkan sebahagian pelamin.


KEADAAN banjir rumah Siti Nabilah di Kampung Parit Mahang yang belum surut. FOTO Roslin Mat Tahir.

“Bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana pihak Masjid Nurul Huda membenarkan saya meneruskan majlis perkahwinan di pekarangan masjid dan boleh dihadiri jemputan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Siti Nabila berkata, dia sekeluarga menjemput 500 tetamu ke majlis itu dan terharu dengan kedatangan jemputan yang tidak menghiraukan cuaca hujan dan banjir.

“Saya bersyukur majlis berlangsung lancar walaupun tidak seperti dirancang. Terharu melihat tetamu masih datang walaupun sudah bertukar tempat,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Amirul Abd Aziz, 30, berkata, dia tidak senang duduk apabila mengetahui banjir di rumah Siti Nabilah lambat surut.

Bagaimanapun, katanya, sangat lega apabila majlis dapat diteruskan di pekarangan masjid dan jemputan masih hadir memeriahkan majlis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:18 PM
PASANGAN raja sehari di majlis mereka di Masjid Nurul Huda. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.