Lima juta penerima PSP termasuk M40 sedang dikenal pasti. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

LIMA juta penerima lagi termasuk golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) sedang dikenal pasti untuk menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini kira-kira tiga juta data penerima PSP terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sudah direkodkan.

Beliau berkata, baki lima juta penerima lagi perlu dicari segera memandangkan Kementerian Kewangan memperuntukkan RM2.2 bilion membabitkan lapan juta penerima untuk program berkenaan bagi 2020.

Katanya, kumpulan penerima dalam kalangan M40 dikenali sebagai ‘bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)’ dan pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kewangan mengenai mekanisme khusus bagi tujuan pengumpulan data kumpulan berkenaan.​​

“Satu pendekatan untuk kutipan data perlu dirangka, untuk B40 dah ada tapi M40 belum ada dan harus dikenal pasti pendekatan tepat bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya ditemui selepas Majlis Penerangan Isu-Isu Kepenggunaan dan Isu-Isu Semasa (Kupasan Bajet 2020 dan Taklimat Petrol Subsidi Bersasar) di Kulim hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, pendaftaran untuk penerima daripada golongan B40 dan BSH sehingga kini masih dibuka manakala tempoh pendaftaran dan semakan bagi kumpulan M40 pula akan dimaklumkan kemudian.

“Kita menerima pelawat yang begitu ramai selepas kita buka portal untuk B40 mendaftar, semak dan kemas kini maklumat dan saya jangka jika kita umum untuk M40 mendaftar, yang secara relatifnya mereka lebih celik IT, ini akan membantu memudahkan kita menjalankan proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, proses mengumpul data semua penerima yang layak perlu diselesaikan tahun ini juga bagi memastikan mereka dapat menerima bantuan PSP pada suku pertama tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 9:36 PM