Dr Mahathir serta Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pada Majlis Minum Petang dan Dialog Bersama Diaspora Malaysia di Azerbaijan hari ini. FOTO Bernama
Dr Mahathir serta Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pada Majlis Minum Petang dan Dialog Bersama Diaspora Malaysia di Azerbaijan hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

PEMBUKAAN Kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan akan dibuat secepat mungkin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad sehari selepas membuat pengumuman cadangan itu pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Azerbaijan.

“Akan dibuat secepat mungkin...sedang cari pejabat,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Beliau menjelaskan cadangan membuka kedutaan dan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin bukan semata-mata kerana mereka umat Islam tetapi kerana ketidakadilan yang berlaku terhadap mereka sejak beberapa dekad lalu.

Dr Mahathir berkata, ketidakadilan yang dilakukan rejim Israel terhadap Palestin seperti merampas tanah perlu diketahui masyarakat antarabangsa.

“Rakyat Palestin dianiaya....kita dapati kuasa besar sokong perbuatan ini walaupun ia menyalahi ​​​​​​​undang-undang antarabangsa.

“Lebih menyedihkan walaupun perbuatan Israel itu salah, mereka masih sokong,” ​​​​​​​katanya.

Dr Mahathir semalam mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat ​​​​​​​Palestin dengan lebih mudah.

Kedutaan itu akan ditempatkan di Jordan ketika menyampaikan ucapan kepada pemimpin dan wakil 120 negara anggota NAM.

“Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu kami akan ​​​​​​​membuka kedutaan di Jordan,” katanya pada sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri berusia 94 tahun itu berkata, pembukaan kedutaan itu akan membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin lebih mudah, walaupun beliau mengakui Israel akan mencari jalan untuk memastikan tidak ada bantuan akan sampai ke Palestin.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan menggesa negara anggota NAM yang berpindah ke ​​​​​​​Baitulmuqaddis atau merancang untuk berpindah ke sana, supaya mengkaji semula keputusan itu.

Ketika ini terdapat lebih 30 pejabat diplomat dan pertubuhan antarabangsa di Ramallah serta Gaza di kawasan ​​​​​​​Palestin.

Palestin ketika ini mempunyai pejabat kedutaan di Kuala Lumpur manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir juga ditauliahkan ke Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 12:13 AM
Digital NSTP Subscribe