Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


MESKIPUN menghadapi masalah tangan patah sejak dua tahun lalu, ia tidak menghalang seorang wanita untuk berkorban menjaga ibu, suami, anak serta adiknya yang menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

Zakiah Nek, 55, kini menggalas tanggungjawab menjaga ibunya, Alang Fatimah Abdullah, 76, yang hanya mampu terbaring selepas menghidapi penyakit saraf, manakala suaminya, Zakaria Ali, 90, juga sudah tidak mampu bergerak akibat uzur.

Bukan setakat itu, Zakiah turut cekal dalam menjaga anaknya Ida Zakaria, 29, yang menghidap Cerebral Palsy (CP) sejak beberapa hari dilahirkan dan adiknya Masri Nek, 50, pula menghidap masalah saraf pada bahagian kaki.

Zakiah berkata, walaupun sendi tangan kanannya patah, dia tidak pernah mengeluh melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga kesemua ahli keluarga yang menghadapi masalah kesihatan itu.

“Keadaan ibu juga semakin merosot sehingga tidak mampu bercakap lagi dan hanya mampu terbaring sepanjang masa, sebelum ini ibu masih mampu mengengsot dan hanya mempunyai masalah nyanyuk.

“Saya terpaksa memberikan sepenuh perhatian terhadapnya dengan memandikan dan membawanya ke tandas, walaupun keadaan tangan saya masih belum pulih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Talang Tengah, Sungai Siput, semalam.

Selain itu, Zakiah berkata, dia turut perlu menjaga suaminya yang sudah uzur serta anaknya yang menghidap CP dan kesemua tugasan itu dilakukannya dengan bantuan anak sulungnya, Zunaidah Yaakob, 35.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) diterima ibu, anak serta adiknya berjumlah RM950 dan dividen bulanan FELCRA sebanyak RM300.

Zakiah yang mempunyai tujuh anak berusia 21 hingga 35 tahun itu berkata, pendapatan diperoleh tiga anaknya yang mana dua daripadanya bekerja kampung juga tidak menentu dan kesemua pendapatan diperoleh dikongsi mereka sekeluarga.

Katanya, pendapatan anak, bantuan JKM dan dividen diperoleh masih belum cukup memandangkan terpaksa membeli lampin pakai buang, termasuk barangan keperluan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 3:49 PM
ZAKIAH (kiri) menjaga Ida (tengah) serta ibunya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri