BERNAMA

KETUA Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, pada 16 November ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis mengumumkan calon dan pelancaran jentera PH PRK di Dewan Hai Kee, di Pontian, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU berkata, meskipun ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen itu, pemilihan Karmaine sebagai calon adalah satu pilihan yang tepat bersesuaian dengan kriteria yang digariskan oleh PH.

“Memang ramai nama yang diberikan tetapi pihak pimpinan berpendapat Karmaine calon yang sesuai berdasarkan beberapa ciri iaitu dia anak tempatan, dilahirkan di sini dan berkelayakan.

“Ini kriteria yang difikirkan oleh pimpinan sesuai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Tanjung Piai, kerana kawasan ini masih memerlukan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis itu, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 4:06 PM
    KARMAINE Sardini. FOTO Ihsan Pembaca