Gambar hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


BERANG kehendaknya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dipenuhi, seorang anak mengugut mahu membunuh ibu kandungnya menggunakan sebilah parang semalam.

Dalam kejadian pada 8.45 malam di sebuah rumah di Paka, Dungun, lelaki berusia 20-an itu turut menendang pintu rumah sekuat hati dan memaki hamun ibunya berusia 75 tahun sambil memaksa mangsa menyerahkan wang.

Sumber berkata, lelaki berkenaan sebelum itu dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan marah dan meminta sejumlah wang daripada mangsa dengan biadap.

“Ibunya enggan menuruti permintaan suspek dan memberi alasan tiada wang tetapi lelaki itu tetap memaksa sehingga memaki hamun warga emas itu dengan kata-kata kesat.

“Mangsa tetap enggan memberikan wang menyebabkan suspek mengamuk lalu menendang pintu rumah sekuat hati.

“Suspek bertindak lebih agresif apabila mengambil sebilah parang di dapur lalu mengugut mahu membunuh ibunya,” katanya.

Mangsa yang panik dengan tindakan anaknya itu tiada pilihan dan terpaksa menyerahkan sejumlah wang dan selepas puas kehendaknya dipenuhi, anak mangsa keluar meninggalkan rumah.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya membuat laporan di Balai Polis Paka pada malam sama untuk tindakan lanjut,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 7:49 PM