Skip this ad x
HANIF (kiri) mengukur saiz nombor kenderaan dalam operasi berkenaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 1,344 saman bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi bermula Januari sehingga September tahun ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, daripada jumlah itu, 344 notis dikeluarkan kepada penunggang motosikal, 905 saman membabitkan kereta dan 95 untuk kenderaan lain.

Katanya, kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran yang tidak mengikut ketetapan dipandang serius oleh JPJ kerana ia semakin berleluasa sehingga mengelirukan pihak berkuasa.

“Susulan daripada masalah ini kami mengadakan operasi Khas Motosikal yang memfokuskan bukan sahaja kepada spesifikasi nombor pendaftaran malah kesalahan lain seperti pengubahsuaian motosikal.

“Selepas dua jam operasi sebanyak 94 notis saman dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan selain tiga kereta turut disita termasuk salah satu daripadanya menggunakan nombor plat palsu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 notis dikeluarkan bagi mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang ‘fancy’ (tidak mengikut spesifikasi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Motosikal di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di Kota Bharu, malam tadi.

Hanif berkata, dalam operasi sama, pihaknya mengeluarkan 16 saman kesalahan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh.

Katanya, kesalahan LKM dan insurans yang tamat tempoh tidak boleh dikompaun dan ia perlu dirujuk ke mahkamah.

“Saya berharap pengguna jalan raya lebih peka terutamanya berkaitan insurans kerana ia sangat membantu terutama jika berlaku kemalangan, yang kita sendiri tidak boleh jangka.

“Selain itu, kita juga memandang serius kes anak bawah umur yang menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen. Saya harap ibu bapa dapat memantau anak mereka daripada terbabit dengan masalah ini.

“Ia bukan sahaja boleh membahayakan nyawa mereka malah juga pengguna yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 9:10 AM