Siti A’isyah Sukaimi


GURU sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini atas pertuduhan memiliki ‘item’ yang berkaitan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelem (LTTE).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, R Sundram, 52, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Saifulakmal Mod Said.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di alamat No 21 Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 12 Oktober lalu, 2.30 petang.

Berikutan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara dengan tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan juga dilucutkan mana-mana item berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasidi, manakala tertuduh diwakili peguam, R Kirthiraj.

Selain itu, peguam memohon mahkamah merekodkan, pihaknya menerima arahan daripada Sundram untuk memfailkan permohonan jaminan berikutan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis.

Bagaimanapun, ia dibantah oleh pihak pendakwaan atas alasan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi kesalahan ini tidak dibenarkan jaminan.

Pihak pendakwaan turut memohon tarikh sebutan semula untuk mendapatkan laporan pakar dan keizinan bagi memindahkan kes itu ke mahkamah tinggi.

Susulan itu, Hakim Saifulakmar menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan.

Mahkamah turut mengarahkan supaya tertuduh dapat menerima rawatan sepatutnya bagi penyakit kencing manis yang dialaminya.

Terdahulu, tertuduh yang juga guru Fizik dan Bahasa Inggeris di sekolah di Kuala Langat tiba di mahkamah jam 8.10 pagi dan dilihat dikawal ketat oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:42 AM
GURU sekolah menengah kebangsaan, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelem (LTTE). FOTO BERNAMA