Nor Azura Abdul Jalil


PENGUTIP besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan memiliki item antaranya cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), tiga minggu lalu.

A Kalaimughilan, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki item-item berkaitan LTTE masing-masing di alamat Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada 12.35 petang, 10 Oktober 2019 dan di dalam kereta jenis Mitsubishi di hadapan rumah di alamat No 7 Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada 9.30 pagi, tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucut hak mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam V Yoges.

Terdahulu, Rohaiza tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun Yoges memohon anak guamnya dibenarkan jaminan atas alasan tiada rujukan Sosma di dalam pertuduhan selain anak guamnya menjaga bapa yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Tertuduh juga perlu menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan yang dialaminya dalam satu kemalangan pada April lalu," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan di Malaysia sebagai pengganas bermula pada 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:55 AM
PENGUTIP besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan memiliki barang berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). FOTO Aswadi Alias