TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Abdullah Yusof.
Muhammad Apendy Issahak


DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini, atas pertuduhan memberi sokongan, memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

S Arivainthan, 27, yang bekerja sebagai juruteknik didakwa memberi sokongan kepada LTTE di dalam satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Cawangan Sungai Siput (U), jam 6.30 petang hingga 11.45 malam, pada 28 Disember 2014 .

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan bagi kesalahan itu.

Seorang lagi tertuduh, pemandu teksi, V Balamurugan, 37, dituduh memberi sokongan pada kumpulan pengganas yang sama pada tarikh, waktu dan tempat yang sama dengan Arivainthan serta didakwa mengikut seksyen yang sama juga.

Balamurugan bagaimanapun turut berdepan tiga pertuduhan lain iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE dalam sebuah telefon bimbit pada 10 Oktober 2019, di perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U), Kuala Kangsar, jam 9.40 pagi.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) KK yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item berkenaan.

Pertuduhan ketiga dihadapinya adalah membabitkan kesalahan mempamerkan item berkaitan LTTE di Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) dalam daerah Kuala Kangsar pada 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) KK yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan item berkaitan.

Pertuduhan keempat dihadapi Balamurugan membabitkan kesalahan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE pada 10 Oktober lalu di Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) jam 9.50 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(b) KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item yang berkenaan.

Kesemua pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Tiada sebarang pengakuan direkod daripada kedua-dua tertuduh terhadap semua pertuduhan dihadapi.

Arivainthan diwakili peguam R S N Rayer, manakala Balamurugan diwakili peguam-peguam, Matthews Jude dan Farhan Fadzil.

Hakim Rohaida kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 November ini bagi sebutan semula.

Berita berkaitan

LTTE: 2 ADUN Melaka didakwa

LTTE: Seorang lagi didakwa di Selayang

LTTE: Guru pun didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 12:17 PM