SIDANG Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SESI Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini hangat apabila pihak pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung pembabitan timbalannya dalam isu komik propaganda komunis dan DAP, ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Ini kerana Maszlee ketika menjawab soalan tambahan daripada Datin Mastura Mohd Yazid (BN- Kuala Kangsar) mengenai bagaimana Teo Nie Ching boleh menerima komik berkenaan di dalam pejabat KPM dan prakatanya juga ditulis oleh Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng) berkata, timbalannya sudah membuat penjelasan di Facebook (FB).

“Saya rasa isu berkaitan gambar Timbalan Menteri sudah dijawab dalam FB beliau, mengenai bagaimana beliau diberi komik terbabit dan diambil gambar.

“Insiden yang sama juga berlaku kepada Perdana Menteri yang diserahkan komik terbabit dan kemudian diambil gambar.

“Namun ini bukan insiden terpencil kerana ramai lagi menteri atau ahli parlimen lain yang kadang-kadang diserbu oleh pengarang tertentu, diberi buku dan kemudian diambil gambar tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai bukti pengiktirafan, ” katanya.

Jawapan Maszlee itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak pembangkang yang mahu penjelasan dilakukan di Dewan Rakyat dan bukannya menerusi FB.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang turut tidak berpuas hati juga mencelah dan menghangatkan suasana.

“Apa Facebook, ini Parlimen kita tanya... tolong jawab menteri,” katanya.

Maszlee bagaimanapun berjaya mententeramkan suasana apabila dengan tegas berkata pengedaran komik kontroversi itu sama sekali tidak dibenarkan.

“Tidak kira gambar siapa, gambar Timbalan Perdana Menteri kah, mana-mana Ketua Setiausaha (KSU) kah atau ahli parlimen kah, yang penting Menteri Pendidikan tidak benarkannya.. keputusan adalah di tangan saya,” tegasnya.

Tajuddin kemudiannya mencelah dan mengucapkan tahniah kepada Maszlee.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS- Kuala Krai) mengenai tindakan yang diambil terhadap pihak yang menerbit dan mengedar komik itu, Maszlee berkata, kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus bekerjasama memantau isu itu menerusi semua mekanisme di peringkat negeri, daerah dan sekolah.

Ia bagi memastikan komik berkenaan tidak berada di premis pendidikan dan tidak memberi kesan negatif kepada warga sekolah.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah juga sudah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik daripada mana-mana pihak ataupun pembekal.

“Ini kerana sekolah tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 1:03 PM