Skip this ad x
PEGUAM Haniff Khatri Abdullah ditemui media selepas Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman tujuh perokok, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang mencabar keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok, bermula awal Januari lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen dan hujah kedua-dua pihak dan beliau berpuas hati bahawa tindakan Kementerian Kesihatan itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memutuskan bahawa dakwaan perokok berhubung hak mereka terhakis kerana keputusan KKM mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok adalah tidak berasas.

“Walaupun merokok bukan satu kesalahan jenayah atau diharamkan di Malaysia, tetapi produk tembakau dan rokok terbukti secara kajian saintifik membunuh separuh daripada penggunanya dan memudaratkan mereka di sekeliling yang terdedah dengan asap dan wap rokok.

“Menurut responden (Kementerian Kesihatan) adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi 78 peratus populasi yang terdiri daripada 15 tahun ke atas yang tidak merokok untuk menikmati udara segar,” katanya.

Hakim Mariana berkata, penggunaan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak asasi yang dijamin tidak boleh disamakan dengan hak merokok.

“Pemohon masih boleh merokok selagi mana mereka mahu merokok tetapi dengan syarat mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tiada undang-udang yang menghalang atau mengharamkan mereka daripada merokok.

“Mereka boleh merokok di mana-mana sahaja mengikut kehendak mereka, melainkan tertakluk dengan tempat yang sudah diwartakan larangan merokok. Mereka boleh merokok tiga meter dari premis makanan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan puntung rokok dibuang di tempat sepatutnya,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak sama rata dan hak perlindungan yang dikemukakan oleh pihak pemohon yang mendakwa mereka mempunyai hak yang sama dengan golongan tidak merokok.

“Tiada halangan untuk golongan perokok makan di premis makan sama ada tertutup atau terbuka yang turut dikunjungi oleh golongan tidak merokok. Tiada halangan untuk menikmatinya sehingga lewat malam seperti orang lain selagi mana peraturan merokok tiga meter itu diikuti.

“Tidak timbul diskriminasi atau disisihkan terhadap golongan merokok ini untuk menikmati makanan di restoran yang pada hemat saya tidak berasas serta tidak disokong dengan sebarang keterangan.

“Semua rakyat Malaysia adalah bebas untuk mengunjungi restoran dan sekiranya mahu merokok, mereka perlu menghormati hak rakyat yang lain,” katanya.

Hakim Mariana berkata, mahkamah percaya bahawa pihak responden sudah mengambil kira semua faktor kepentingan awam dan bertindak secara munasabah apabila menetapkan peraturan jarak merokok itu.

“Mahkamah ini berpendapat, pihak pemohon adalah terkhilaf apabila mendakwa hak merokok mereka ‘terhakis’ sama sekali dengan peraturan larangan ini. Pemohon berhujah mereka berhak memberi pandangan terhadap peraturan yang hendak dikuatkuasakan.

“Responden berhujah pihaknya mengambil masa beberapa tahun dan siri perbincangan dengan pihak-pihak ada diadakan. Malah orang awam ada diberi peluang untuk memberi maklum balas berhubung perkara ini (Pelaksanaan larangan merokok) sejak 2012 malah sejak dari mula ia dicadangkan 15 tahun lalu, namun tiada bantahan,” katanya.

Pemohon mendakwa mereka tidak dimaklumkan berhubung peraturan itu dan seterusnya ada menubuhkan Persatuan Kesedaran Merokok pada 31 Julai lalu iaitu selepas keputusan larangan itu dibuat.

“Pemohon juga menyatakan bahawa Persatuan Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok (PHP) ditubuhkan 24 Disember 2018.

“Ia adalah persatuan mewakili perokok seluruh Malaysia yang tujuannya untuk menjaga kepentingan dan hak perokok. Ia juga ditubuhkan selepas keputusan larangan dibuat.

“Jadi ia tidak praktikal bagi responden untuk mendapatkan pandangan daripada semua perokok apabila tiada sebarang badan atau persatuan mewakili mereka untuk berbincang ketika itu,” katanya.

Oleh itu, mahkamah dalam keputusannya memutuskan bahawa responden tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertindak dalam bidang kuasanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan hadir bagi Kementerian Kesihatan, manakala peguam Muhammad Haniff Khatri Abdulla dan Datuk M Riza Hassan mewakili tujuh individu itu.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Kumpulan Ayah Jangan Merokok, Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan turut hadir ke mahkamah.

Pada 29 Januari lalu, tujuh individu memperoleh kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Individu berkenaan ialah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran difailkan pada 31 Disember 2018, tujuh perokok itu memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:58 PM