FOTO Hiasan
Mohd Hilmie Hussin


HUJAN dijangka terus melanda utara dan selatan tanah air sepanjang minggu ini, namun dalam kadar yang kurang berbanding minggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, kadar hujan yang lebih rendah itu disebabkan ribut tropika yang melanda timur Vietnam.

“Apabila berlaku ribut tropika di timur Vietnam, cuaca buruk seperti hujan lebat akan beralih ke sana sekali gus kadar hujan yang tinggi yang melanda utara dan selatan tanah air sebelum ini, berkurang.

“Namun hujan akan tetap melanda negeri-negeri di utara dan selatan sepanjang minggu ini dan minggu hadapan hujan lebat dijangka kembali,” katanya, ketika dihubungi.

Beliau berkata, banjir yang berlaku di beberapa negeri sebelum ini dikategorikan sebagai banjir kilat sahaja berikutan keadaan tanah yang sudah lama tidak menerima hujan berada dalam keadaan mampat, selain berlaku air pasang besar yang menyebabkan air lambat surut.

Beliau turut menjelaskan negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang belum menerima kadar hujan yang tinggi.

“Pantai timur belum lagi kerana kita belum menerima deruan angin sejuk, apabila menerima deruan angin sejuk itu, kita akan mengeluarkan amaran tiga hari sebelum ia melanda,” katanya.

Beberapa kawasan di Perak membabitkan daerah Kerian, Hilir Perak, Batang Padang Manjung masih terjejas hari ini apabila menerima hujan lebat, menyebabkan 642 penduduk dari 162 keluarga di tempatkan ke Pusat Permindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, MetMalaysia menerusi laman sesawangnya mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North, Pulau Layang-Layang dan Palawan hari ini sehingga Jumaat (1 November).

Notis amaran itu memberitahu, keadaan terbabit berbahaya kepada aktiviti laut terutamanya bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut, kerana angin kencang menghasilkan keadaan laut bergelora.

Amaran ribut petir menyeluruh turut dikeluarkan jabatan terbabit di kawasan perairan Selat Melaka Utara, Condore, Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulawesi petang ini.

Beberapa kawasan berdekatan perairan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak Utara dan Sabah Barat turut dijangka dilanda ribut petir menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 3:08 PM