Gambar hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


LELAKI cedera di badan dan kepala selepas diikat, ditumbuk dan dipukul dengan kayu selepas dituduh cuba mencuri lembu berhampiran kolam Pelung di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun pada Jumaat lalu.

Mangsa yang berada di lokasi kejadian didatangi seorang lelaki dikenali berusia 50-an dalam kejadian pada 4.05 petang itu.

Bagaimanapun, sumber berkata, suspek secara tiba-tiba menuduh mangsa cuba mencuri lembu miliknya di situ tetapi dinafikan mangsa yang berusia 44 tahun.

“Suspek yang enggan mendengar penafian dan penjelasan mangsa kemudiannya terus menumbuk muka mangsa sebelum mengambil parang dan cuba untuk mencederakan mangsa tetapi berjaya dielak.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati kemudiannya mengambil tali yang dibawa lalu mengikat mangsa dan terus mengamuk dengan mengambil dahan kayu berhampiran dan memukul mangsa,” katanya.

Menurut sumber, perbuatan suspek tidak berhenti setakat itu aoabila terus memukul tangan mangsa dengan pelepah kelapa bagi memuaskan hatinya sebelum beredar meninggalkan mangsa yang lemah selepas teruk dibelasah.

“Mangsa yang trauma dengan kejadian kemudian membuat laporan di Balai Polis AMBS pada keesokan harinya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 4:04 PM