Jawahar Ali (empat dari kanan) dan John Riba (tiga dari kanan) bersama ahli PRESMA ketika sesi taklimat bersama PERKESO, JTK dan JAKIM di Petaling Jaya hari ini. Foto Salhani Ibrahim
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akan menyediakan makanan sihat di semua restorannya di seluruh negara dalam usaha membantu masyarakat membudayakan pemakanan seimbang.

Ia bermakna selepas ini, pelanggan akan ditawarkan pelbagai jenis makanan seimbang termasuk daripada menu sedia ada.

Presiden PRESMA Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu akan bermula dalam masa terdekat dan pelanggannya diberi pilihan untuk memilih makanan sihat yang sesuai.

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, fokus PRESMA adalah mengenai tahap kebersihan makanan dan restoran.

“Jadi kita perkenalkan juga menu sihat, iaitu makanan atau minuman kurang gula sesuai dengan saranan kerajaan supaya rakyat menjaga kesihatan melalui pemakanan,” katanya ketika Sesi Taklimat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Marin dan 400 ahli PRESMA.

Jawahar Ali berkata, antara isu lain yang turut disentuh ialah bagaimana pengusaha restoran boleh mendapatkan pekerja asing secara sah bagi memenuhi permintaan di lebih 12,000 restoran Muslim.

“Dengan adanya taklimat ini, kami dapat mengetahui prosedur caruman majikan kepada pekerja kerana kita mahu mereka juga mendapat manfaat dan perlindungan sekiranya berlaku apa-apa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:35 PM