PENDUDUK membantu mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI maut ditimbus tanah runtuh sedalam tiga meter ketika sedang menggali perigi kejadian berdekatan rumah Anak Yatim Bukit Peraksi, dekat Pasir Puteh, hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, mangsa, Terrance Dunstan Anak Peter, 36, berasal dari Kampung Skibang, Bau, Sarawak disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Cherang Ruku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 10.46 pagi yang memaklumkan seorang lelaki ditimbus tanah.

Katanya, sebelum itu, mangsa bersama rakannya berusia 30-an menggali perigi di lokasi itu menggunakan jentolak.

“Mangsa turun ke bawah untuk meletakkan gelung simen perigi dan berada pada kedalaman tiga meter sebelum tanah runtuh menghempapnya.

“Penduduk kampung yang berada di lokasi membantu mengeluarkan mangsa dan pada masa yang sama pihak kita juga ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba kita dapati, mangsa sudah dikeluarkan dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:51 PM