FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan mendera seorang bayi perempuan yang juga anak asuhan isterinya sehingga menyebabkan cedera.

Tertuduh berusia 43 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendera seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan sehingga menyebabkan lebam di kedua-dua belah mata mangsa.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik tidur di sebuah rumah di Setapak Jaya jam 12 tengah hari, 22 Oktober lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon satu tarikh lain untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes.

Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat ini untuk pembentangan fakta kes dan jatuh hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 2:46 PM