Taman Tema Melaka Wonderland menerima anugerah daripada Majlis Pelancongan Malaysia Jumaat lalu. FOTO Ihsan Taman Tema Melaka Wonderland
Rizanizam Abdul Hamid


SELEPAS 10 tahun beroperasi, Taman Tema Melaka Wonderland di Ayer Keroh menjadi taman tema pertama di Malaysia memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, sebagai taman tema yang tersenarai antara 10 taman tema terbaik di Malaysia, pencapaian itu anugerah membanggakan.

“Kami menerima dua anugerah daripada Majlis Pelancongan Malaysia Jumaat lalu iaitu ‘Gold Award for First Theme Park with the Halal Certificate 2019’ dan ‘Gold Award for Family friendly Theme Park with Lake Activities 2019’.

“Pelbagai tarikan acara dan aktiviti terbaru akan diadakan pada masa akan datang untuk memuaskan hati pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Selain itu keselamatan diutamakan kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, taman tema itu juga sudah mendapat penghargaan sijil Jaminan Kualiti Pelancongan Malaysia (MyTQA) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:32 PM