Kenderaan pacuan empat roda yang ditahan PGA ketika cuba menyeludup daun ketum ke negara jiran. FOTO Bernama
Kenderaan pacuan empat roda yang ditahan PGA ketika cuba menyeludup daun ketum ke negara jiran. FOTO Bernama
BERNAMA

PASUKAN Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup 564 kilogram daun ketum ke negara jiran menerusi Op Wawasan Kedah dan Perlis hari ini.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, cubaan itu berjaya dipatahkan selepas sepasukan anggota yang membuat pemantauan, terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan, memasuki kawasan tanah perkuburan Cina di Kampung Melayu, Padang Besar.

“Kenderaan itu bergerak menghampiri pagar sempadan berhampiran tiang CCTV 23 dan apabila dihampiri dan diperiksa kenderaan itu didapati membawa 18 guni putih mengandungi daun hijau dipercayai ketum.

“Anggota kami kemudiannya menahan dua lelaki yang dipercayai hendak menyeludup daun ketum itu melalui pagar sempadan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, siasatan lanjut yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka yang juga tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ada beberapa rekod kesalahan lampau.

Pihaknya turut merampas telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan itu dengan nilai keseluruhan RM127,130.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:29 AM