NURAININA ketika menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Mardi Himal di Nepal. FOTO ihsan pembaca.
NURAININA ketika menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Mardi Himal di Nepal. FOTO ihsan pembaca.
Ahmad Rabiul Zulkifli


DIA mempunyai masalah gayat teruk selain tidak gemarkan aktiviti lasak, namun kerana terlalu suka melihat keindahan alam dia sanggup mendaki lebih 10 gunung di dalam dan luar negara semata-mata untuk mendapat kepuasan.

Nurainina Aziz, 33, dari Kampung Besut, Kemaman bukan saja pernah menawan gunung terkenal di tanah air seperti Gunung Angsi di Negeri Sembilan, Gunung Santubong di Sarawak dan Gunung Kinabalu di Sabah.

Malah, eksekutif analitik perniagaan sebuah syarikat swasta itu berjaya menawan puncak Gunung Mardi Himal setinggi 4,500 meter di Nepal pada Mac lalu.

Katanya, dia tidak pernah terfikir untuk mendaki gunung berikutan mempunyai masalah gayat sangat teruk.

“Bagaimanapun kerana desakan rakan, saya memberanikan diri mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Tebu di Besut ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 2005.

“Dalam ketakutan dan gayat saya gagahkan diri ke puncak dan akhirnya pemandangan indah di puncak Gunung Tebu itu membuatkan saya terpesona.

“Bermula dari situ saya menjadi pemburu pemandangan indah di atas gunung, boleh dikatakan separuh daripada gunung terkenal di dalam negara sudah didaki,” katanya.

Menurutnya, dia bukan kaki mendaki seperti orang lain yang menjalani latihan mendaki bukit atau gunung pada setiap hari.

Sebaliknya, katanya, apabila ada cuti, dia akan berkemas barang yang perlu dan terus ke gunung belum ditawan untuk melakukan pendakian secara spontan.

“Saya tidak pernah menjalani latihan seperti orang lain tetapi nekad mendaki, jika letih berhenti seketika tetapi tidak mudah putus asa sehingga ke puncak.

“Aktiviti pendakian itu membuatkan saya gilakan pemandangan indah, justeru saya akan tetap mendaki hingga ke puncak semata-mata untuk menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Menurutnya, selain Gunung Kinabalu dan Gunung Mardi Himal, Gunung Rinjani di Indonesia adalah antara gunung paling mencabar pernah ditawan.

Katanya, pada ketinggian 200 meter ke puncak Gunung Rinjani, ada satu permukaan berpasir yang membuatkan pendakian di situ mengambil masa selama dua jam.

“Bayangkan kaki terjerlus ke dalam pasir setiap kali melangkah, sekali gus menyukarkan kita untuk terus melangkah.

“Bagaimanapun sebaik saja sampai ke puncak, segala kepayahan dan rasa letih itu hilang apabila melihat pemandangan indah,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMKSI) Kemaman itu turut bercadang untuk menawan Everest Base Camp (EBC) pada Mac tahun hadapan sempena hari lahirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:31 AM