JEFFRIDIN (dua dari kanan) bersama Hasni (tiga dari kanan), Wee (tengah) serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tiga dari kiri), malam tadi. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Togi Marzuki


“TIADA boikot. Saya ada bersama ketika pengumuman calon dibuat,” kata Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jeffridin Atan.

Beliau berkata, tidak timbul isu boikot walaupun tidak dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

“Ya, saya akui nama saya ada dalam senarai awal, namun selepas mesyuarat terakhir Majlis Kerja Tertinggi BN, semua pihak sebulat suara memilih bekas Ahli Parlimen kerusi itu, Datuk Seri Wee Jeck Seng untuk merebut semula kerusi berkenaan.

“Saya hadir pada majlis pengumuman calon untuk memberikan sokongan kepada calon BN yang dipilih.

“Jadi tidak timbul saya boikot dan ia tidak benar kerana saya yakin permuafakatan BN ini bukan wujud sehari dua, tetapi sejak puluhan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, istilah boikot itu tidak ada kerana semua parti komponen BN mempunyai semangat setia kawan dan sudah lama bersama BN.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin mengatakan UMNO bahagian itu akan memboikot PRK itu selepas namanya digugurkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad malam tadi mengumumkan Wee yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai sebagai calon BN untuk merebut semula kerusi parlimen itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Isnin lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 hingga 2018 sebelum tewas dengan majoriti 524 undi kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (BERSATU) pada PRU-14.

Sebelum itu, Wee menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:27 AM