PASANGAN kekasih ditahan polis selepas dipercayai mencuri sofa di sebuah kedai perabot. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


PASANGAN kekasih ditahan selepas dipercayai mencuri sofa di sebuah kedai perabot di Sibu, Selasa lalu.

Dalam kejadian 11.10 malam, suspek berusia 34 dan 47 tahun ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Hulu Lanang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, polis yang membuat rondaan melihat kedua-dua suspek sedang mengangkat sofa ke dalam but kereta.

“Hasil pemeriksaan dan soal siasat, suspek gagal memberi alasan munasabah mengenai sofa dibawa mereka.

“Polis bertindak menahan kedua-dua suspek dan dibawa ke balai untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, polis turut menyita sebuah kereta dan set sofa sebagai barang kes.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga 4 November depan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:03 PM