Muhammad Apendy Issahak


PENJAWAT awam yang semalam didakwa dengan 111 pertuduhan membabitkan tuduhan meliwat isteri dan mencabul tiga anak perempuannya, didakwa lagi dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini.

Pertuduhan membabitkan tiga ugutan bunuh dan empat tuduhan mencederakan isterinya yang berusia 37 tahun.

Bagaimanapun, lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Bagi tiga pertuduhan ugutan bunuh, dia didakwa mengacukan pisau ke muka isterinya dan menggugut bunuh mangsa pada 26 Februari, 2 Mac dan 7 Mei lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan mencederakan isterinya itu pula didakwa dilakukan pada 17 Mac, 26 dan 27 April serta 4 Mei lalu kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada isteri dengan mencekik leher, menghentak kepala ke dinding, menampar muka dan menendang badan mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang dibaca bersama Seksyen 326A KK dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dibawa melakukan semua perbuatan itu kediamannya di Sungai Siput.

Norhabsarina tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan saksi kes berkenaan yang juga isteri serta anak-anak tertuduh.

Semalam, di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, dia didakwa dengan 104 pertuduhan meliwat isterinya dengan purata dua atau tiga kali hampir setiap hari bermula pada 1 Mac hingga 3 Jun lalu.

Dia juga didakwa melakukan amang seksual terhadap tiga anak perempuannya yang berusia 12, 10 dan lima tahun pada 4 dan 7 Mei lalu serta 4 Jun lalu.


TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Abdullah Yusof

Berita berkaitan

Pemandu didakwa liwat isteri, cabul anak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:48 PM