SEBANYAK 24 ekor lembu diseludup dari negara jiran bernilai RM48,000 ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori muatan lembu dalam Op Wawasan, di kawasan Kuala Jambu. FOTO Ihsan MAQIS Kelantan
SEBANYAK 24 ekor lembu diseludup dari negara jiran bernilai RM48,000 ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori muatan lembu dalam Op Wawasan, di kawasan Kuala Jambu. FOTO Ihsan MAQIS Kelantan
Siti Rohana Idris


TIDAK sempat membawa lembu seludup ke tempat pelihara, lori yang membawa 24 haiwan itu ditahan pihak berkuasa di kawasan Kuala Jambu di Tumpat, semalam.

Difahamkan, lori yang dipandu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu baru mengambil semua lembu dari pengkalan haram berhampiran sebaik diseludup dari Thailand menerusi Sungai Golok.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, penahanan itu dibuat pada 2 pagi ketika kenderaan itu melalui lokasi rondaan pihak berkuasa.

“Lori berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang melakukan Op Wawasan di sekitar kawasan itu.

“Kenderaan itu memuatkan sebanyak 24 lembu yang diseludup dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM48,000,” katanya ketika dihubungi di Tumpat, hari ini.

Mohd Azam berkata, pemandu yang juga pemilik lembu seludup itu akur dengan kesalahannya dan semua haiwan itu dirampas serta dibawa ke pejabat MAQIS untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, perbuatan mengimport lembu tanpa mempunyai permit import yang sah dari MAQIS menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa mempertingkat kawalan pencegahan penyakit dan perosak serta komited dalam memastikan pengimport membawa masuk keluaran pertanian dengan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 2:41 PM