HAIRI dan Norliha bersama anak mereka.
BERNAMA

KEMENTERIAN Luar hari ini mengesahkan pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, sedang menghadapi perbicaraan di Norway atas pertuduhan mendera anak mereka.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway, sedang memantau perkembangan kes itu.

“Pihak Kedutaan Malaysia juga telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras dengan peruntukan Konvensyen Vienna 1963,” katanya.

Menurutnya, pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan agensi tempatan yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga tersebut dipelihara, termasuk memastikan anak mereka ditempatkan bersama-sama keluarga beragama Islam.

Wisma Putra juga mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia untuk turut hadir dan mengikuti prosiding perbicaraan kes tersebut pada 4 hingga 6 November ini.

Sejak Mei lalu, Hairi, 42, yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan isterinya, Norliha, 42, hilang hak penjagaan terhadap lima anak mereka berusia antara empat dan 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang daripada anaknya.

Adik Hairi, Hasrol dilaporkan media berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang daripada anak mereka yang mungkin letih kerana berpuasa, ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama (melebihi 12 jam).

Menurut Hasrol, guru itu berkemungkinan berpendapat bahawa kanak-kanak terbabit didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak.

Berita berkaitan

Air mata di Norway

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 3:11 PM