Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah membuat onar apabila cuba ‘melarikan’ motosikal milik pengawal keselamatan yang didakwa miliknya dalam kejadian di hadapan bank di Bandar Chukai, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, suspek yang hanya memakai seluar dalam sebelum itu bertindak mengganggu orang awam yang berada di dalam bank.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, orang awam kemudian memaklumkan kehadiran suspek kepada pengawal keselamatan sebelum suspek diminta keluar dan tidak mengganggu orang.

Beliau berkata, suspek pergi ke arah motosikal milik pengawal keselamatan dan mahu membawanya pergi dengan mendakwa kenderaan itu miliknya.

“Pengawal keselamatan terbabit memaklumkan motosikal itu miliknya dan suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian sebelum dia diserahkan kepada unit kereta peronda (MPV).

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod perubatan sakit mental.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana berada pengaruh dadah dan dia kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 14 saat tular di laman sosial Facebook menunjukkan seorang lelaki yang hanya memakai seluar dalam ditahan empat lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 10:08 AM
LELAKI yang hanya memakai seluar dalam ditahan di hadapan sebuah bank, di Bandar Chukai. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI yang hanya memakai seluar dalam ditahan di hadapan sebuah bank, di Bandar Chukai. FOTO Ihsan Pembaca
Digital NSTP Subscribe