Khairul Najib Asarulah Khan


HUJAN lebat berterusan awal pagi hari ini menyebabkan beberapa kawasan sekitar Sungai Serai di Hulu Langat, dilanda banjir kilat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya difahamkan banjir kilat itu bermula 5 pagi tadi.

Menurutnya, sebaik mendapat maklumat kawasan terjejas, satu jentera bersama tujuh anggota dikerah ke lokasi bagi memantau keadaan sekitar kawasan terbabit.

“Banjir itu berpunca daripada limpahan air dari Sungai Serai yang mana menyebabkan kawasan di Batu 14, Batu 12 dan Batu 13, Hulu Langat dilanda banjir.

“Ia turut mengakibatkan kesesakan hampir lima kilometer dari Batu 9, Cheras ke arah Taman Sri Nanding, di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Akmal berkata, banjir mula surut sekitar 9 pagi tadi.

“Saya difahamkan pusat pemindahan sementara di buka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai sekitar 6 pagi.

“Namun ia sudah ditutup selepas air surut yang mana beberapa penduduk sudah pulang kembali ke rumah masing-masing,” katanya.


HUJAN lebat menyebabkan banjir di beberapa kawasan Batu 11 Hulu Langat dan Utama Hulu Langat serta berlaku kesesakan hampir 5 KM, di Hulu Langat. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 10:54 AM