SEBAHAGIAN daripada 12 tertuduh kes LTTE yang hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
SEBAHAGIAN daripada 12 tertuduh kes LTTE yang hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur, membenarkan permohonan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang membuat permohonan itu di tiga Mahkamah Sesyen berasingan, semalam.

Dalam keputusannya, Rozina berkata, terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding sama, mahkamah tidak membuat sebarang perintah jaminan serta tiada penangguhan prosiding.

Sementara itu dua lagi Hakim masing-masing, Azman Ahmad dan Azura Alwi membuat keputusan sama berdasarkan perkara yang dirujuk Rozina.

Kesemua mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Disember ini.

Kesemua tertuduh terdiri daripada, ADUN Gadek, G Saminathan, 34; pemandu teksi, V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38, pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 36; pengawal keselamatan, M Pumugan, 29; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S Chandru, 38; Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, R Sundram, 52; juruteknik aplikasi, S Arivainthan, 27; penjaga stor, S Thanagaraj, 26; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60; ahli DAP, V Sureshkumar, 43, dan B Subramaniam, 57.

Semalam, 12 tertuduh didakwa di tiga mahkamah berasingan atas beberapa pertuduhan antaranya memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi tuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda.

Mengikut seksyen itu juga, mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan terbabit, boleh dirampas jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan memiliki dan mengedar bahan berkaitan pengganas, tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) dan Kanun Keseksaan 130JB (1)(b), memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad, Muhammad Izhanuddin Alias dan Muhamad Iskandar Ahmad.

Turut hadir ke mahkamah adalah, Penasihat DAP Lim Kit Siang; ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta SOSMA selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Berita berkaitan

LTTE: 12 individu naik mahkamah [METROTV]

LTTE: 2 lagi didakwa di Kuala Kangsara

LTTE: 2 ADUN Melaka didakwa

LTTE: Seorang lagi didakwa di Selayang

LTTE: Guru pun didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 2:47 PM
Kabinet Malaysia 2020