SITI Aminah Zailani, 19 menunjukkan bihun dan kuetiaw sup yang dijual dengan harga RM1 semangkuk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEJAK kisahnya menjual mi, bihun, kuetiaw sup dan bubur nasi dengan harga RM1 semangkuk dipaparkan menerusi akhbar, premis milik Zailani Ismail dibanjiri pengunjung yang datang bertali arus.

Penangan paparan minggu lalu itu menyebabkan segala bahan mentah terpaksa ditambah berkali ganda dan Zailani, 47, juga mengupah beberapa pekerja membantunya di kedai kerana tidak menang tangan melayan pelanggan.

Zailani berkata, sebanyak 20 ayam sehari digunakan sebagai lauk dalam menu RM1 itu berbanding sebelum tular iaitu hanya seekor.

“Begitu juga dengan bihun, mi kuning dan kuetiaw yang perlu dibeli secara kotak berbanding sebelum ini hanya beberapa plastik saja untuk sehari.

“Sejak dipaparkan menerusi akhbar dan televisyen baru-baru ini, sambutannya hanya Tuhan saja yang tahu, kami sekeluarga tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang bertali arus termasuk dari luar daerah.

“Ada yang datang dari Jeli, Kota Bharu malah dari Setiu serta Jerteh, Terengganu semata-mata untuk mencuba menu RM1 saya ini,” katanya ketika ditemui di kedainya, Tumpat, hari ini.

Zailani berkata, dia turut berdepan dengan kerenah tidak menyeronokkan apabila dimarahi pelanggan yang terpaksa menunggu lama untuk menikmati menu yang disediakan.

Dia berkata, sambutan yang agak drastik itu membuatkan dia dan pekerja agak sukar menyesuaikan diri namun sejak beberapa hari ini mereka sudah mula mampu menangani keadaan.

“Dari hanya saya, isteri, anak dan seorang pembantu yang bekerja di sini sebelum ini, saya kini mula menambah tiga pekerja kerana tugas semakin bertambah.

“Masing-masing ada tugasan yang mana saya dan isteri menyediakan bahan mentah dan rempah ratus, anak menjaga bahagian juadah yang ditempah manakala yang lain mengambil pesanan dan membuat air,” katanya.

Dari pemerhatian yang dibuat sepanjang hampir dua jam berada di premis yang dinamakan Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima itu, banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan pelanggan tidak putus datang untuk mencuba menu RM1 di kedai berkenaan.

Zailani berkata, dia tidak bercadang menambah meja dan kerusi memandangkan premis itu sudah berhampiran dengan jalan utama dan pernah juga dihubungi pihak berkuasa tempatan mengenai parkir kenderaan.

“Saya pun tidak boleh buat apa kerana pelanggan datang menyerbu cuma saya harap mereka (pelanggan) dapat letak kenderaan dengan betul dan tidak sampai memasuki garisan jalan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 3:26 PM