ANTARA dadah ditemui dan dirampas daripada seorang lelaki oleh AADK Jempol.
ANTARA dadah ditemui dan dirampas daripada seorang lelaki oleh AADK Jempol.
Raja Noraina Raja Rahim


AKIBAT kalah judi, seorang lelaki sanggup menjual dadah bagi mendapatkan wang dengan cara mudah untuk membayar hutang.

Kegiatan lelaki berusia 29 tahun itu terbongkar selepas ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jempol, semalam, dan menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3,000.

Ketua Pegawai AADK Jempol, Ahmad Sabri Yusof berkata, lelaki itu ditahan jam 4.25 petang di Taman Musytari, Batu Kikir, Jempol, selepas menerima maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan, anggota menemui beberapa paket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 19.83 gram (g), dua paket ketulan kristal disyaki methamphetamine (8.75 g) dan dua paket dadah jenis ganja (9.76 g).

“Dadah dirampas dianggarkan bernilai RM3,000 dan boleh digunakan hampir 50 penagih dalam satu masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Sabri berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Kampung Lonek dan Batu Kikir.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa sebelum ini menjual dadah secara kecil-kecilan.

“Namun disebabkan wang habis digunakan bermain judi dalam talian, dia perlu mencari duit lebih untuk membayar sewa rumah,” katanya.

Katanya, suspek dan rampasan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 3:29 PM