Nur Saliawati Salberi


SEORANG tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas didakwa mengugut bunuh ibunya sendiri yang berusia 59 tahun.

Tertuduh, Nur Abdul Ghaffar Mohamad, 19, mengaku salah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan bunuh melalui perkataan terhadap ibunya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah pangsa di Kampung 7, Tengkera, Ayer Keroh, jam 10.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel dan sudah berkahwin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,700 dengan seorang penjamin selain menetapkan 20 Disember depan untuk laporan sosial dan hukuman.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa, dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya menggunakan penyapu, pada masa dan tarikh sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 3:58 PM
NUR Abdul Ghaffar diiringi polis selepas mengaku salah melakukan ugutan bunuh terhadap ibu kandung di Mahkamah Majistret Melaka. FOTO RASUL AZLI SAMAD