FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Disember depan untuk pengurusan kes permohonan kerajaan melucut hak terhadap harta disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd berjumlah RM680 juta.

Ia berikutan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes itu sebelum ini, menarik diri selepas kes disebut semula dalam kamarnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain ketika ditemui berkata, Hakim Collin memutuskan bahawa beliau tidak boleh mendengar permohonan kerajaan itu.

“Ini kerana Yang Arif (Collin) sedang mendengar perbicaraan kes skandal dana 1MDB dihadapi Najib. Oleh itu, mahkamah menetapkan tarikh lain bagi membolehkan hakim baru mendengar permohonan itu.

“Permohonan Global Royalty Trading SAL untuk menjadi pencelah dan memeriksa barangan kemas disita juga akan didengar di hadapan hakim baru pada tarikh sama.

“Kami dimaklumkan pemeriksaan barangan kemas akan dilakukan peguam Datuk David Gurupatham, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya.

Terdahulu, premis Obyu Holdings dimiliki Tan Sri Bustari Yusof.

Dalam notis usul difailkan terhadap Obyu, kerajaan antara lain menyita 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai RM114,164,393.44 dalam pelbagai mata wang asing.

Sebahagian besar barangan mewah dirampas polis adalah dari pangsapuri dimiliki Obyu Holdings.

Selain barangan itu, sebuah hartanah di Kuala Lumpur turut disita.

Najib dan Rosmah masing-masing diwakili peguam Syahirah Hanapiah dan Iskandar Shah Ibrahim.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan lucut hak itu terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:35 PM