Antara pistol tiruan yang dirampas dalam tangkapan terhadap dua lelaki semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

DUA lelaki termasuk anggota polis yang memiliki senjata api tiruan ditahan selepas terserempak dengan pasukan pencegahan jenayah Balai Polis Gombak di Taman Kamariah, Batu 6, Gombak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian 12.30 tengah hari itu berlaku ketika pasukan terbabit melakukan rondaan di kawasan itu.

Katanya, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 21 dan 27 tahun menemui pistol tiruan yang diselitkan di bahagian pinggang seorang daripada suspek selain satu pisau lipat diletakkan di dalam poket seluar.

“Kami turut menemui dua kelopak berisi 15 butir bebola besi setiap satu, satu gari serta dua anak kunci, tali landyard, beg, buku dan satu salinan kad kuasa polis.

“Satu aluminium mengandungi 10 pil erimin 5 serta sebuah motosikal Yamaha 15ZR digunakan suspek dengan nombor pendaftaran palsu turut dirampas dalam tangkapan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur sebelum ini.

“Hasil soal siasat kami membuat serbuan di sebuah rumah Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur dipandu arah oleh seorang daripada suspek membawa kepada penemuan dua beg kotak serta anak kunci, tiga pistol tiruan dan enam kelopak pistol tiruan.

“Semua barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Dua suspek berkenaan pula direman empat hari bermula hari ini hingga 4 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyan 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:39 PM