Petugas SPR melakukan persiapan untuk penamaan calon PRK Tanjung Piai esok di Dewan Jubli Intan Pontian hari ini. FOTO Bernama
Petugas SPR melakukan persiapan untuk penamaan calon PRK Tanjung Piai esok di Dewan Jubli Intan Pontian hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

SEMUA calon dan parti politik yang terbabit dengan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok, diingatkan menjaga tingkah laku penyokong mereka.

Ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, tanpa berlakunya kejadian huru hara atau pun ketegangan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pada masa sama, lebih 400 anggota polis ditugaskan menjaga keselamatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Mengikut undang-undang mereka (calon) boleh membawa seberapa ramai penyokong tetapi saya rasa tanggungjawab untuk menjaga penyokong agar keadaan tidak huru hara atau penyokong melakukan apa-apa ketegangan adalah pada pihak berkenaan iaitu mereka yang membawa penyokong.

“Mereka yang perlu bertanggungjawab tetapi SPR dengan kerjasama polis, kita pun akan berusaha melancarkan hari pencalonan, untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan akhir di Pusat Penamaan Calon PRK itu di Dewan Jubli Intan hari ini.

Turut hadir Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Pengarah SPR negeri Shafie Taib dan Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh.

Azhar berkata, Malaysia sedang menuju ke arah proses demokrasi yang lebih matang, justeru kepemimpinan dan tanggungjawab calon politik seperti itu amat diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, SPR sudah memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka markas sementara, sempena pilihan raya itu.

Ia bagi membolehkan SPRM meneliti dan membanteras apa jua perbuatan rasuah berkaitan pengundian.

“Dari PRK Parlimen Cameron Highlands, MACC (SPRM) sudi dan setuju untuk membuka markas sementara dan menempatkan pegawai mereka untuk tujuan itu,” katanya.

Mengenai persiapan hari penamaan itu pula, Azhar berkata, semuanya berjalan lancar dengan 65 petugas SPR akan bertugas di pusat penamaan calon esok.

Pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan 16 November ini manakala pengundian awal pula 12 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu, mewakili Pakatan Harapan dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 6:41 PM