DUA lelaki menyamun kedai serbaneka 24 jam di Bandar Wilayah, Lahad Datu. FOTO Ihsan PDRM
DUA lelaki menyamun kedai serbaneka 24 jam di Bandar Wilayah, Lahad Datu. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


POLIS Lahad Datu melancarkan operasi memburu dua lelaki yang menyamun kedai serbaneka 24 jam di Bandar Wilayah, Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, kedua-dua penjenayah terbabit yang bersenjatakan pisau dilaporkan melarikan sebuah telefon pintar dan wang tunai milik premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian terdapat empat individu yang terdiri daripada pekerja premis berada di dalam kedai terbabit.

Katanya, kedua-dua suspek yang dianggarkan berketinggian 160 sentimeter hingga 165 sentimeter itu masuk ke dalam premis berkenaan dan terus mengacukan pisau ke leher seorang daripada mangsa.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang daripada suspek memakai topi manakala seorang lagi menutup muka dengan kain hitam.

“Penjenayah itu kemudian melarikan telefon bimbit Huawei dan wang tunai sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

“Justeru itu, polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan untuk mengesan suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 11:47 AM