PEMAIN bass Butterfingers, Kadak.
PEMAIN bass Butterfingers, Kadak.
Syafil Syazwan Jefri


KONSERT Ulangtahun ke-20 Butterfingers - Transcendence di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi, terpaksa dihentikan seketika apabila pemain bassnya, Kadak mengalami sesak nafas.

Pemain gitar Butterfingers, Loque memaklumkan perkara itu di hadapan lebih 8,000 penonton yang memenuhi stadium berkenaan.

“Kadak mengalami sesak nafas dan tak dapat teruskan persembahan bersama kami. Bagaimanapun, persembahan tetap diteruskan,” katanya.

Walaupun tanpa Kadak, Butterfingers yang turut dianggotai Emmett (penyanyi) dan Loko (dram) tetap meneruskan konsert berkenaan tanpa pemain bass hingga tamat.

Butterfingers tetap menampilkan persembahan bertenaga sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Terdahulu, Butterfingers menghentikan persembahan mereka dan penonton menyangka mereka berhenti untuk berehat.

Bagaimanapun, jangka masa yang agak lama membuatkan penonton tertanya-tanya sebelum Loque tampil menjelaskan keadaan itu.

Wakil penganjur ketika dihubungi berkata, Kadak dibawa ke Hospital Shah Alam sejurus kejadian, namun keadaannya tidak membimbangkan.

Konsert berkenaan mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila seawal jam 6 petang, ribuan penonton memenuhi ruang legar stadium berkenaan.

Dalam konsert berkenaan, Butterfingers membawakan 27 lagu mereka yang pernah dirakam sepanjang terbabit dalam industri muzik.

Walaupun sudah berpecah, Butterfingers masih berkumpul dan membuat persembahan bersama antaranya di acara Festival Muzik Rockaway pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 1:04 AM