AB Aziz (kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa, menangkap 30 penjenayah rentas sempadan dengan jumlah rampasan lebih RM3.5 juta dalam tempoh dua minggu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embong berkata, tangkapan itu termasuk kes dadah dan ketum, penyeludupan haiwan, ayam sejuk beku, rokok dan rampasan beras.

Katanya, hasil kejayaan ini membuktikan kerja keras pegawai dan anggotanya yang mula mengambil alih Ops Wawasan Kelantan daripada Batalion 7 pada 15 Oktober lalu.

“Setakat ini, kes yang paling besar dengan tertumpasnya cubaan menyeludup rokok dari negara jiran, Thailand, bernilai lebih RM2 juta di Pengkalan Haram Kuala Jambu, Rantau Panjang, semalam.

“Kami menggunakan pelbagai cara untuk mengekang aktiviti jenayah dan penyeludupan di sempadan selain sentiasa peka dengan gerakan penyeludup yang aktif tidak kira masa.

“Penyeludup ‘bijak’ menukar pelbagai taktik dalam menjalankan modus operandi mereka, namun kami tidak akan membiarkan mereka bolos dengan membuat kawalan ketat tanpa sebarang kompromi,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA Lubok Stol, Rantau Panjang, semalam

Ab Aziz mengakui, cabaran yang perlu ditempuhi pihaknya dengan keadaan muka bumi, semak samun serta jarak sungai yang terlalu dekat selain tiada tembok atau pagar antara dua negara memudahkan penyeludup melakukan jenayah.

“Namun, kekangan ini tidak akan mematahkan semangat anggota kami untuk terus berkhidmat membanteras jenayah bermula di sempadan sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Rantau Panjang, seperti yang dipertanggungjawabkan.

“Kami yakin dengan adanya kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Saya berharap masyarakat dapat memahami dengan jelas kesan negatif penyeludupan yang bukan sahaja kepada ekonomi, malah keselamatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:04 AM