GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Hilmie Hussin


KEADAAN cuaca di Semenanjung Malaysia sehingga Selasa ini, dijangka kurang menerima hujan kecuali utara Semenanjung dan kawasan pantai barat, yang dijangka menerima hujan pada sebelah pagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, cuaca bagaimanapun berubah di dua kawasan terbabit mulai Rabu.

“Mulai 6 November, cuaca hujan dan ribut petir dijangka melanda negeri-negeri di pantai barat.

“Bagi negeri di pantai timur pula, dijangkakan kadar hujan yang sangat rendah sepanjang seminggu ini. Manakala di Sabah dan Sarawak, kawasan yang dilanda hujan dan ribut petir ketika ini dijangka berterusan ke minggu hadapan,” katanya, ketika dihubungi.

Sementara itu, laman web MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh.

Amaran dibuat kepada aktiviti perkapalan berikutan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dijangka melanda perairan timur laut Condore, Reef North, Layang-Layang dan barat Palawan bermula esok (Isnin hingga Sabtu 9 November).

Ombak dijangka setinggi 4.5 meter bakal melanda perairan terbabit yang berbahaya kepada aktiviti perkapalan, tangkapan ikan di pantai dan perkhidmatan feri.

Selain itu, amaran ribut petir turut dikeluarkan di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Tioman, yang membawa hujan lebat serta angin kencang, berbahaya kepada bot-bot kecil.

Amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) turut dilaporkan bakal melanda perairan Sarawak Utara dan Sabah Barat bermula esok hingga Sabtu.

Angin kencang dan laut bergelora itu dijangka mengakibatkan ombak setinggi 3.5 meter berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 3:22 PM