Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pertahanan masih menanti pandangan Peguam Negara sama ada akan mengambil tindakan atau tidak berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta yang masih belum diterima.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sepatutnya pesawat berkenaan diterima kementeriannya pada November 2017.

Katanya, hingga kini kementerian belum menerimanya walaupun sebuah walaupun pembayaran sudah dibuat sebanyak RM112 juta.

“Pembayaran sebanyak 35 peratus dibuat dan bayaran selebihnya akan dilakukan sebaik penghantaran helikopter berkenaan.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan penyelesaian dengan Kementerian Kewangan dan Peguam Negara.

“Kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat berdasarkan nasihat dan pandangan Peguam Negara sama ada akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 512 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung isu helikopter tempur ringan MD 530G yang dikeluarkan MD Helicopters dari Amerika Syarikat (AS) kerana belum dihantar.

Sebuah portal berita melaporkan ATM didakwa belum menerima enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset dibuat pentadbiran terdahulu.

Pada perkembangan lain, Mohamad berkata, Kempen Tabung Pahlawan 2019 sudah melebihi RM9 juta berbanding sasaran RM6 juta sebelum ini.

Katanya, kementerian mensasarkan jumlah itu akan melebihi RM10 juta dalam masa beberapa hari lagi kerana kesedaran masyarakat termasuk ahli perniagaan yang turut menderma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:08 PM
HELIKOPTER penggempur ringan MD 530G yang ditempah untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). FOTO NSTP