Abdul Razak Raaff


MALAYSIA turut menerima kesan tindakan pemerintahan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump apabila tidak boleh mengadakan hubungan perdagangan dengan Iran.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Iran adalah antara rakan dagang terbesar negara dan Malaysia disekat untuk berbuat demikian.

Beliau mengakui perkara itu tidak dinyatakan sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan sidang berkaitan selepas dua hari berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di Bangkok.

“Apa yang tidak pernah disebut ialah mengenai sekatan. Apabila anda mengadakan sekatan ianya menyalahi undang-undang.

“Tiada peruntukan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara yang tidak berpuas hati dengan negara lain menggunakan kaedah sekatan terhadap negara berkenaan serta negara yang ada kepentingan dengannya.

“Malaysia kini turut disekat hanya kerana mempunyai rakan dagang dengan negara lain yang sudah menerima sekatan seperti Iran.

“Jadinya, dalam undang-undang mana yang membolehkan mereka berbuat demikian? Mereka sering bercakap mengenai ‘Rule of Law’ dan perkara asas mengenainya tetapi sebenarnya mereka ini adalah orang yang sama dan tidak berpegang kepada prinsip,” katanya pada sidang media di Bangkok, Thailand, hari ini.

Terdahulu, Reuters sebelum ini dipetik sebagai berkata, bank di Malaysia menutup akaun syarikat dan individu dari Iran dipercayai berkaitan dengan sekatan dikenakan Washington.

Walaupun Washington mengadakan sekatan terhadap program nuklear Iran sejak tahun lalu, Malaysia terus mengekalkan hubungan diplomatik dengan Tehran.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia serta negara ASEAN lain menyuarakan kebimbangan mengenai kesan perang perdagangan AS-China yang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global.

Beliau berkata, konflik itu sememangnya mengganggu keamanan dunia kerana semua negara mahukan kebebasan melakukan perdagangan dengan negara lain.

Ia dinyatakan dalam pertemuan pemimpin ASEAN dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-22, hari ini (semalam).

“Apa yang merisaukan kami (ASEAN) ialah konflik ini dijangka tidak akan selesai dalam masa terdekat, jika Trump terpilih lagi sebagai Presiden maka akan terus berlarutan lima tahun ini.

“Namun, saya berpendapat ianya bukan pandangan semua pemimpin AS...jadinya kita harap perkara ini boleh segera diatasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 7:11 PM
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.