NAJIB ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihat untuk tidak terus melakukan perbuatan yang dianggap mengelirukan mahkamah berhubung tindakannya memberi alasan sakit mata dan tidak dapat hadir perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Najib jika beliau terus mengulangi perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mengenakan sebarang sekatan terhadap Najib seperti yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Terdahulu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya mengemukakan permohonan sekatan terhadap Najib.

“Kami memohon supaya Najib dikenakan sekatan tidak keluar dari Kuala Lumpur dan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap Sabtu pada 9 pagi.

“Peguam Negara membuat permohonan ini selepas merasakan ia sesuatu yang ajaib untuk masalah mata tertuduh hilang dalam masa satu hari dan beliau terus boleh pergi ke Johor,” katanya.

Beliau berkata, banyak aduan diterima termasuk laporan polis daripada seorang individu berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, sijil cuti sakit yang diperoleh hanya untuk sehari iaitu pada Khamis lalu.

Menurutnya, Najib pergi ke Johor selepas masalah mata berairnya sembuh tetapi mata beliau masih lagi bengkak.

Pada Khamis lalu, Najib mengemukakan sijil cuti sakit berikutan mengalami masalah mata.

Najib bagaimanapun dilihat berada di Johor pada Jumaat dan turut berada bersama penyokong Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Perbicaraan skandal dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Najib kemudian diteruskan dengan sesi pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 12:39 PM