SUI Hau (kiri) bersama Muhammad Ferdaus dan Nur Syahila, ibu bapa kepada Nur Aqilah Syifa. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad


BAGAIKAN tidak percaya anak yang dilahirkan dalam keadaan sihat dan normal, kini terbaring lemah dengan hanya mengharapkan bantuan mesin pernafasan.

Itu hakikat yang perlu dilalui sepasang suami isteri dari Perlis apabila bayi perempuan mereka, Nur Aqilah Syifa Muhammad Ferdaus yang kini berusia tiga bulan terpaksa bertarung nyawa selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Muhammad Ferdaus Omar, 32, dan isterinya, Nur Syahila Shahidan, 28, terkejut serta tidak menyangka mendengar berita duka daripada doktor yang merawat anak kedua mereka itu.

Nur Syahila berkata, anaknya yang dilahirkan seberat 3.43 kilogram (kg) itu mula dikesan menghidap jantung berlubang ketika berusia dua bulan.

“Ketika itu, keadaan Aqilah nampak lain apabila dia kerap batuk dan mengalami sesak nafas lalu saya bersama suami membawanya membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta.

“Doktor yang membuat pemeriksaan memaklumkan tahap kesihatan Aqilah terlalu serius dan perlu dirujuk ke Hospital Kangar.

“Sebaik tiba di hospital, keadaan Aqilah semakin lemah kerana kekurangan oksigen dan doktor terus memasukkannya ke dalam unit rawatan rapi (ICU) hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di Pertubuhan Kebajikan One Hope di Bukit Mertajam, hari ini.

Nur Syahila berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) memaklumkan jantung anaknya mempunyai dua lubang dan saluran darah sempit yang memerlukan pembedahan segera dilakukan bagi menyelamatkan nyawa.

“Pembedahan segera perlu dilakukan di hospital swasta dengan kos mencecah RM80,000 dan ini menyebabkan saya dan suami buntu mencari wang sebanyak itu memandangkan saya tidak bekerja manakala suami pula hanya menjual ikan dengan pendapatan RM1,200.

“Namun, saya bersyukur selepas ada rakan yang memberitahu mengenai pertubuhan kebajikan di negeri ini yang bermurah hati tanpa mengira bangsa dan agama untuk membantu mengumpul dana pembedahan untuk Aqilah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan One Hope, Chua Sui Hau berkata, pihaknya sudah menetapkan tarikh pembedahan untuk Aqilah di sebuah hospital swasta minggu ini.

“Kita dimaklumkan bahawa kos pembedahan untuk Aqilah menelan belanja sekitar RM80,000 dan memahami situasi kewangan yang dihadapi pasangan suami isteri dari Kuala Perlis ini yang datang dari jauh untuk mencari dana menyelamatkan anak mereka.

“Jadi kita berharap rakyat Malaysia yang prihatin dapat turut serta membantu bayi perempuan ini apatah lagi doktor memaklumkan bahawa peluang Aqilah untuk sembuh sangat besar sekiranya pembedahan dijalankan dengan segera,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435 atau menghubungi mereka di talian 016-4192192, 019-2322192 dan 04-5059800 serta melayari laman sosial Facebook pertubuhan kebajikan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 2:42 PM