FOTO Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


SERAMAI 16 pemburu haram membabitkan 10 warga asing dan enam warga tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan sejak Oktober lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, ia membabitkan tujuh tangkapan iaitu tiga warga Thailand, tujuh warga Thailand dan enam warga tempatan.

Beliau berkata, pada 16 Oktober lalu, enam pemburu haram warga Kemboja ditahan di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu selain dua warga tempatan pada 26 Oktober lalu kerana memiliki hidupan liar.

“Antara kejayaan OBK di Taman Negeri Royal Belum pula adalah dua tangkapan membabitkan tiga warga Thailand yang menceroboh Taman Negeri Royal Belum iaitu pada 10 September dan 11 Oktober lalu.

“Penceroboh warga Thailand ini memasang jerat dan mengambil hasil khazanah negara seperti kayu gaharu, landak, musang pulut, kura-kura, burung kuang raya, burung murai batu dan ayam hutan.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan 24 bulan penjara bagi kes tangkapan pertama dan hukuman denda RM60,000 dan 28 bulan penjara bagi kes tangkapan kedua,” katanya pada sesi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 di Parlimen hari ini.

Katanya, bermula Oktober lalu, ‘Ops Belang’ diperkasakan dengan pembabitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak dan badan bukan kerajaan (NGO).

Xavier berkata, pelbagai strategi dan pendekatan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar terutamanya oleh warga asing menerusi Ops Belang sebelum ini.

“Antara tindakan dijalankan termasuk menjalankan operasi penguatkuasaan dengan rondaan berjalan kaki di habitat utama Harimau Malaya untuk membanteras pencerobohan hutan, pemburuan haram dan menghapuskan jerat.

“Kejayaan yang dicapai ketika Ops Belang adalah sembilan kes tangkapan membabitkan 11

warga asing terdiri daripada enam warga Myanmar, tiga warga Kemboja, dua warga Vietnam dan 12 warga tempatan.

“Suspek yang ditahan dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah pemilikan pelbagai spesies hidupan liar, memiliki jerat dan memasuki Taman Negara tanpa permit,” katanya.

Katanya, jumlah denda dan penjara tertinggi yang direkodkan RM1.56 juta dan penjara 18 tahun atas kesalahan berkaitan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Selain itu katanya, sejumlah 429 jerat hidupan liar berjaya ditemui dan dimusnahkan di dalam kawasan hotspot pemburuan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 7:32 PM