ZAIPAH (kanan) melihat keadaan mata Sidah yang mengalami masalah penglihatan sejak menghidap penyakit kencing manis pada 2012. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ZAIPAH (kanan) melihat keadaan mata Sidah yang mengalami masalah penglihatan sejak menghidap penyakit kencing manis pada 2012. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“HAMPIR semua makanan tular di media sosial terutama makanan manis dan karbohidrat tinggi saya akan cuba kerana beranggapan masih muda dan tidak berisiko menghidap penyakit.

“Namun, ia memakan diri apabila disahkan menghidap kencing manis ketika berusia 19 tahun pada 2012 sehingga mengalami masalah penglihatan selain terpaksa mengambil insulin dan menghidap penyakit darah tinggi,” kata Sidah Omar Baki, 27.

Lebih memilukan apabila Sidah yang menampung kehidupan sebagai tukang jahit terpaksa melupakan kerjayanya selepas diserang penyakit itu dan kini bergantung sepenuhnya kepada ibu, Zaipah Mohd Adam, 48, dan adik bongsunya, Abdul Hadi, 21, yang bekerja sebagai pembantu stor di pasar raya.

Walaupun sedar apa yang berlaku kerana kesilapan diri sendiri, anak sulung daripada dua beradik itu tidak segan berkongsi kisahnya di laman sosial Facebook (FB) sehingga ia mendapat 2,400 tanda suka dan 4,000 perkongsian.

Malah, ramai netizen berterima kasih kepada perkongsian berbentuk kesedaran itu.

Menurut Sidah, dia sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran di FB kerana tidak mahu apa yang berlaku terhadapnya berulang kepada masyarakat terutama golongan muda.

“Saya akui cuai dalam menjaga kesihatan sejak dari usia belasan tahun apabila mencuba apa sahaja makanan tular dengan kebanyakan makanan itu manis dan mempunyai kandungan karbohidrat tinggi.

“Selepas disahkan menghidap penyakit kencing manis serius sehingga terpaksa mengambil insulin selain penyakit darah tinggi, saya hanya menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Hiliran (KKH) selama setahun sahaja kerana sibuk berkerja dan tidak mengambil ubat-ubatan disarankan doktor," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelugor Raja, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, dia mula menjalani rawatan susulan pada Julai lalu selepas mengalami masalah penglihatan sehingga menyebabkan tidak mampu menunggang motosikal dan bekerja.

Katanya, matanya mula menjadi kabur dan dia segera membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit kencing manis.

“Bermula dari situ, saya menjalani kehidupan sihat termasuk menjaga makan seperti mengurangkan pengambilan karbohidrat, makanan berlemak dan manis.

“Kehidupan saya berubah 100 peratus, jika dulu saya yang menguruskan keluarga termasuk membawa ibu menjalani pemeriksaan jantung di HSNZ, namun kini terpaksa meminta bantuan bapa saudara jika ada sebarang kecemasan.

“Kami bukan keluarga senang, selepas kematian bapa pada 2012 kerana jangkitan kuman, saya dan adik bekerja untuk menyara keluarga tetapi sekarang hanya adik sahaja yang bekerja untuk menyara kami,” katanya.

Menurutnya, bantuan sara hidup sebanyak RM200 diterima ibunya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak cukup menampung mereka sekeluarga.

Sementara itu, Zaipah berkata, dia bersyukur kerana tidak diserang sakit jantung sehingga terpaksa dikejarkan ke HSNZ selepas anaknya mengalami masalah penglihatan.

“Sebelum ini, saya kerap diserang penyakit jantung dan asma, tetapi sekarang ia jarang berlaku. Sejak Sidah tidak dapat melihat, saya yang memasak dan menguruskan rumah.

“Sebelum ini, semua kerja rumah Sidah yang buat tetapi sekarang kemampuan Sidah terhad sehingga tidak mampu untuk mengupas bawang.

“Tiada perkara lain yang saya harapkan selain penglihatan Sidah kembali pulih seperti sedia kala. Saya bimbangkan masa depannya. Kami sangat mengharapkan bantuan daripada semua pihak," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 163019794719 atau menghubunginya di talian 013-9711257.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:19 PM
Digital NSTP Subscribe