Mohamad (dua kanan) bersama Karmaine (tengah)
BERNAMA

PENGUNDI Parlimen Tanjung Piai diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu, yang rancak memainkan isu perkauman sehingga menyebabkan hubungan kaum menjadi renggang, terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada masa ini.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu berkata, isu perkauman itu dilihat semakin menebal dimainkan pembangkang, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Isu perkauman asyik dimainkan. Orang Melayu rasa kami (PH) alat DAP, DAP pula rasa jadi alat Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), (hubungan) kedua-dua kaum (Melayu dan Cina) menjadi renggang,” katanya ketika ditemui pada program Borak Kopitiam di Pekan Nanas, Pontian malam ini.

Program itu turut dihadiri calon PH Karmaine Sardini, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong serta Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan.

Ditanya keyakinan PH dalam memenangi PRK itu 16 November ini, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, PH kini perlu bekerja keras dalam membantu kemenangan calon, dengan memberi penjelasan dasar kerajaan kepada pengundi.

“Mana-mana parti yang bertanding pada pilihan raya akan yakin menang, kami (PH) juga sedang bekerja kuat. Kami tidak cakap kami (sudah) menang, tetapi kami sedang berusaha,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan itu berkata, beliau berhak untuk berpolitik dan turun berkempen membantu Karmaine pada PRK itu memandangkan beliau adalah timbalan presiden gabungan berkenaan.

“Saya tetap menteri, tetapi bagi PH saya timbalan presiden dan saya bebas bergerak ke mana saja,” katanya mengulas kenyataan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang dilaporkan berkata, agar Mohamad berhenti berpolitik dan bergerak ke hadapan sebagai menteri di kementerian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:32 PM